BAGI MENENTUKAN BEBERAPA PERKARA BARU DALAM MASYARAKAT SAMA ADA IANYA DIKATEGORIKAN SEBAGAI HARTA PUSAKA ATAU TIDAK.
KEKELIRUAN BAGI MENENTUKAN BEBERAPA PERKARA BARU DALAM MASYARAKAT SAMA ADA IANYA DIKATEGORIKAN SEBAGAI HARTA PUSAKA ATAU TIDAK
1.KWSP
Wang simpanan si mati dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja adalah harta pusaka.Ini kerana,wang tersebut telah dicarum oleh simati semasa hayatnya kepada Kumpulan Wang tersebut.Wang tersebut adalah wang kepunyaan simati.
2. Wang Derma atau Pemberian Orang yang Melawat Kematian.
Orang ramai yang datang melawat kematian selalunya menghulurkan wang kepada keluarga simati sebagai derma.Wang tersebut didermakan bertujuan untuk meringankan beban keluarga simati untuk menguruskan pengkebumian dan sebagainya. Wang derma ini bukanlah harta pusaka.Ia menjadi hak milik keluarga simati dan tidak perlu dibahagikan kepada waris-waris mengikut faraid.
3.Khairat Kematian
Khairat kematian mempunyai ciri-ciri yang sama dengan derma atau pemberian kepada keluarga simati.
Berikut Fatwa yang telah dikeluarkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah:
Wang Khairat kematian adalah wang derma kebajikan dari persatuan atau pertubuhan khairat kematian atau dari orang ramai bagi membantu keluarga simati menyelenggarakan jenazahnya dan membuat apa-apa kebajikan untuknya.Ia tiada termasuk kira harta pusaka.
3. Imbuhan,Pampasan(GTLA) dan Sagu Hati.
Imbuhan,pampasan dan sagu hati selalunya diberikan oleh majikan kepada keluarga seseorang kakitangan atau pekerjanya yang telah meninggal dunia.Biasanya diberikan kepada keluarganya yang terdekat seperti balu,anak,ibu bapa atau adik-beradiknya.Wang ini dibayar semata-mata pemberian ihsan daripada majikan kepada keluarga pekerjanya.Oleh yang demikian,wang ini bukanlah harta pusaka.
#Walau Bagaimanapun adalah dinasihatkan supaya duit Imbuhan,Pampasan(GTLA) dan Sagu Hati dibahagikan secara Faraid sebagaimana yang diFatwakan oleh Mufti Negeri Johor.
4.Bayaran-bayaran di Bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (SOCSO)
Berkaitan dengan kematian,akta ini telah memperuntukkan tiga jenis bayaran iaitu :
a. Faedah orang tanggungan
b. Pencen penakat
c. Belanja pengurusan mayat.
a) Faedah orang tanggungan ialah bayaran yang dibuat kepada “orang tanggungan” seseorang pekerja yang mati akibat bencana kerja.Bayaran dibuat secara berkala.
b) Pencen penakat ialah bayaran yang dibuat kepada “orang tanggungan” seseorang pekerja yang mati dimana semasa hayatnya dia masih menerima pencen ilat.Juga dibayar berkala.
Dibawah peruntukan akta tersebut,bayaran akan dibuat kepada “orang tanggungan” iaitu : balu ,anak atau ibu yang menjadi balu.
Jelas mengikut akta ini,wang faedah orang tanggungan dan pencen penakat bukanlah harta pusaka.Wang tersebut diberikan kepada orang-orang tertentu bagi meringankan beban orang-orang yang ditanggung oleh simati semasa hayatnya.
c) Belanja pengurusan mayat ialah bayaran yang dikeluarkan dibawah akta ini setelah berlaku kematian.Bayaran sedemikian bolehlah disamaertikan dengan khairat kematian.
Oleh yang demikian,ianya bukan harta pusaka kerana pemberian tersebut adalah bagi maksud meringankan beban waris-waris atau sebagai bantuan untuk urusan pengkebumian.
Disadur dari buku Pengurusan dan Pembahagian Harta Pusaka,Karangan Wan Abdul Halim Wan Harun
Ust Mohd Sablie Shamsuddin
Pegawai Agama PP(T)SB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan